Kembali ke laman utama

 

 

SASTERA SEBAGAI PENGUNGKAP HARI DAN PERISTIWA
Oleh: Amir Mukhriz

 Editorial 18 Jun - 24 Jun 2006

Selain daripada bercerita, sastera mempunyai seribu satu lagi fungsi-fungsi yang pelbagai, bergantung pada tujuan dan maksud yang ingin dicapai penulis atau penyair. Sastera mampu menjadi senjata, menjadi penenang jiwa, menjadi tempat melampiaskan duka lara, dan maksud-maksud lain mengikut inti dan kulit karya sastera itu sendiri.

Satu perkara yang tidak asing bagi kita ialah kehadiran sastera di dalam memainkan peranan pada hari-hari istimewa. Daripada hari perayaan bangsa dan agama, hinggalah hari sambutan kemerdekaan sesebuah negara. Karya sastera, adalah pengungkap yang terbaik dalam menceritakan segala macam perasaan yang berkaitan dengan sesuatu peristiwa atau hari yang di sentuh.

Pada hari editorial ini diterbitkan, kita menyambut Hari Bapa, satu hari yang dikhususkan bagi menghargai jasa pahit maung insan yang bergelar bapa, walau pada hakikatnya jasa mereka perlulah kita raikan setiap detik dan ketika. Bagi membuktikan peranan sastera di dalam mewakili ucap kasih sempena pengorbanan seorang bapa, seorang penyair telah bersajak bermediumkan khidmat pesanan ringkas (SMS). Karya beliau secara tidak langsung telah membuktikan betapa sastera adalah antara medium terbaik di dalam menzahirkan penghargaan, dan juga, secara langsung, menunjukkan betapa SMS merupakan kaedah alternatif kita di dalam memaksimakan apa yang mampu dijayakan sastera.

Kepada pembaca semua, teruslah berkarya, bersastera, dan selamat berkarya bersama e majalah Sastera SMS.

Kepada insan-insan yang bergelar bapa di luar sana, di dalam pengorbanan kalian, di dalam penat lelah kalian, di sini kami, anak-anak, akan sentiasa mendoakan kebahagiaan kalian, semoga dirahmati Tuhan.

Jumpa lagi minggu hadapan, wassalam.


Sastera SMS : Di mana duduknya?
Oleh: Irwan Abu Bakar

 Editorial 4 Jun - 10 Jun 2006

Sastera SMS mungkin istilah yang baru bagi sebahagian pembaca.  Namun kita tentu telah biasa dengan istilah "pantun sms" dan "jenaka sms". Istilah "Sastera SMS" diperkenalkan untuk merangkumi genre-genre sastera yang lain di samping pantun dan jenaka, yang disebar orang melalui  medium sms (telefon bimbit).

Memang kita akui bahawa ciri-ciri karya sastera berubah dengan sistem komunikasi yang digunakan di sepanjang zaman.  Kita bermula dengan sastera lisan, kemudian sastera tulisan, diikuti pula sastera siber.  Masing-masing mempunyai ciri tersendiri. Tentunya selepas itu wujud sastera sms yang menggunakan sistem komunikasi terbaru, iaitu sistem sms melalui telefon bimbit.

Karya sastera sms mempunyai sifat ringkas, padat, peribadi, impromptu.  Rata-rata isinya sinis atau lucu. Kebanyakannya tersebar secara bebas tanpa mementingkan authorship atau siapa pengarangnya.  Sastera sms seolah-olah membawa kita kembali kepada beberapa ciri sastera rakyat (lisan).

Kami mengikuti perkembagan sastera sms dalam masyarakat dengan penuh minat. E-majalah ini diharapkan dapat berfungsi untuk merakamkan apa yang berlaku.


Penghasilan Karya Sastera, Eksklusifkah?
Oleh: Amir Mukhriz

 Editorial 28 Mei - 3 Jun 2006

Saya bukan orang sastera.

Kata-kata di atas, ialah kata-kata yang diucapkan oleh seorang rakan siber yang agak akrab hubungannya dengan saya. Dia mengucapkan pengakuan tersebut sebagai respon terhadap jemputan menghantar karya ke e majalah ini.

Persoalan yang dapat kita fikir bersama, di dalam memahami luahan si teman itu, adakah karya sastera itu eksklusif untuk dihasilkan oleh orang sastera sahaja? Tentu sahaja kita akan menggeleng kepala dan menjawab tidak. Tetapi, mungkin juga ada segelintir yang bersetuju dengan pengeksklusifan itu.

***


Sastera, bermula dari cetusan ilham, dipindahkan pula ke medium seperti kertas atau komputer, dan diakhiri dengan karya yang dibaca, dinikmati dan mungkin dikaji, adalah milik semua. Milik mereka yang mempunyai jiwa dan rasa.

Cetusan ilham yang akhirnya membuahkan sebuah karya, adalah cetusan yang berputik dari pelbagai rasa, rasa yang lahir dari derita yang perit, simpati yang ikhlas, cinta yang asyik dan seribu satu perasaan lain yang sering sahaja hadir menumpang di dalam jiwa insan. Penghayatan dan pengamatan terhadap perasaan inilah yang akhirnya mencetuskan bait-bait indah, biarpun garang pekiknya, atau mendayu rayunya.

Lantaran semua manusia mempunyai hati dan perasaan, maka mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan semua manusia mempunyai potensi untuk menggambarkan perasaan itu, di dalam susunan kata, biar kaku, biar berlagu, tetapi berhasil dikongsi sahabat dan seteru.

Akhir kata, suka untuk diulangi, sastera, khususnya penghasilan karya sastera, bukan eksklusif untuk orang sastera sahaja, tetapi milik kita semua.

Selamat menghasilkan karya sastera, dan selamat berkarya di e majalah Sastera SMS.

Jumpa lagi minggu hadapan. Jika panjang usia.

 



SASTERA YANG TERANAK TIRI

Editorial 14 Mei - 20 Mei 2006

Meninjau tulisan terkini blog Nisah Haji Haron, seorang penulis dan peguam undang-undang, beliau menyuarakan betapa sastera kini merupakan perkara yang diletak tepi, dipandang sepi oleh masyarakat termasuklah media massa.

Kita amat bersetuju dengan apa yang dilontarkan beliau. Bahkan ini bukanlah sesuatu yang baru terjadi, tetapi telah sekian lama sastera itu menerima nasib yang menyedihkan dan tidak selayaknya dilayan begitu.

Mungkin telah jenuh kita canangkan betapa sastera mampu menjadi pemangkin kepada kegawatan sosial, menjadi tunjang kebangkitan nasional, dan menjadi medium menerobos sempadan global, tetapi apa yang diluahluakkan, bagaikan hanya kokokan ayam di Subuh hari, tercarik tekak sekalipun, yang berdengkur, tetap akan berdengkur.

*****

Pejuang sastera, peminat sastera, dan pemerhati sastera, adalah kelompok kecil yang bersatu membentuk komuniti pendokong sastera. Pendokong sastera inilah yang berterus-terusan memberi nafas kepada sastera untuk meneruskan kelangsungan hidup. Sungguh, ramai yang tidak menyedari, bahawa sastera yang didokong oleh komuniti yang sangat kecil ini, sesungguhnya, berpotensi untuk menatijahkan impak yang amat besar.

Akhir tinta, kepada mereka yang berada diluar jangkauan sastera, ketahuilah, sastera bukan sekadar garapan ayat manis berlagu syahdu, tetapi sastera jugalah yang mampu menjadi obor pembakar semangat para soldadu.

 

Jumpa lagi minggu hadapan. Jika panjang usia.

Amir Mukhriz

11:11 pagi. 14 Mei 2006.