Seorang kawan, menyampaikan keluhan editor mengenai kekurangan bekalan cerpen untuk diterbitkan. Majalah kelolaannya yang berkala sebulan sekali itu, mungkin langsung tidak disedari kehadirannya oleh penulis. Atau lebih tepat, kehadiran ruangan untuk penulis memasarkan tulisannya kepada khalayak.
Pada masa yang sama, seorang rakan penulis kelihatan teraba-raba untuk di mana cerpennya perlu diletakkan. Ada juga yang sudah mempunyai lambakan puisi, yang dicoret di dalam buku, dan dibiar terperap selamanya di situ. Walhal, karya-karya yang terperap itu sudahpun ada yang benar-benar mencapai piawaian yang boleh diklasifikasikan sebagai bagus.
Kewujudan jurang di antara penulis dan editor ruangan sastera sesuatu penerbitan bercetak adalah sesuatu yang merugikan. Sama rugi dengan ketidakendahan penulis akan maklumat berkisar medium-medium terbaik untuk karya-karya mereka dihantar ke media cetak dan seterusnya ditatap lebih ramai pembaca, bukan sekadar rakan sekuliah atau rakan sekerja.
Meneliti aspek ini, mungkin tidak keberatan untuk menekankan, betapa penulis itu sendiri perlu lebih aktif. Aktif di dalam menyatakan kewujudannya di dalam arena penulisan, dan aktif di dalam mencari dan memilih peluang terbaik untuk diterbitkan hasil perahan minda. Jika ini tidak diabaikan, mungkin karya-karya yang dihasilkan dengan baik sekali, tidak rugi begitu sahaja. Dan para editor, akan tersenyum mengenang betapa karya-karya bermutu itu sudah pun ada di dalam simpanan mereka, menunggu masa untuk diterbitkan sahaja.
*Karya pilihan mendapat saguhati isian semula prabayar berjumlah RM10
Karya Pilihan (4.07-10.07.2006)*
Mawar Pada Merpati
Ayuh carik kelopak mawar putih
serahkan pada merpati putih
moga sampai ke kota Yahudi
yang ketandusan sekeping hati
Ode
7 Julai 06 | 03.51 pagi
sastera-SMS
EDITOR
Amir Mukhriz
Sila sms karya anda ke 019-262 1052